Ibu Gerak-kecepatan dan ketepatan bersilat
Untuk menimbulkan kecepatan tumbukan, latihan dengan menggunakan sehelai kertas amat berguna. Saya pasti semua orang boleh mendapatkan sehelai kertas saiz A4. Kemudian buatkan sebarang tanda di tengah-tengah kertas itu. Untuk lebih kreatif, fotostat muka orang sebesar saiz kertas itu.Selepas itu, buat lubang pada bahagian atas kanan dan kiri serta masukkan tali atau benang. Gantungkannya paras muka atau bahu anda di mana-mana sahaja tetapi pastikan ada ruang yang cukup di belakangnya. Sudah tentu anda tidak mahu menumbuk dinding bukan?Akhir sekali, dengan kekuda terbaik anda, tumbuk kertas itu 100 kali sehari selama dua minggu. Sasarkan ke hidung muka orang yang anda fotostat itu. Tumbuk biar kertas itu berbunyi seperti disebat dengan cemeti. Anda akan merasakan perbezaan kecepatan tumbukan anda.Tetapi kenapa perlu tumbuk kertas kalau sudah ada beg tubi? Ada sebabnya. Ini berkaitan dengan minda bawah sedar. Apabila ingin menumbuk beg tubi, minda bawah sedar akan menumpukan pada kekuatan sahaja. Apabila begitu, otot-otot tangan yang bermacam jenis akan saling menolak satu sama lain dan akan mengurangkan kecepatan. Tetapi dengan kertas, minda bawah sedar akan menumpukan kepada kecepatan sahaja. Otot-otot tangan akan amat kurang menolak satu sama lain dan tumbukan menjadi cepat.Mungkin anda akan berkata bahawa tiada guna cepat tetapi tidak kuat. Kawan! Jangan lupa hukum fizik Newton; berat darab laju bersamaan dengan kuasa. Kalau anda bertubuh kecil tetapi kalau tumbukan laju akan sama kuasanya dengan tumbukan orang bertubuh besar tetapi perlahan. Kalau anda bertubuh besar dan tumbukan laju, maka lagi bertambah kuasa.Mahukan latihan yang lebih menarik? Dengan kertas yang sama, buat satu lubang di tengah-tengah bahagian atas. Gantungkan seperti tadi. Apa yang ada sekarang adalah kertas yang kadangkala berpusing-pusing.Apa yang anda perlu buat adalah menumbuk sebaik sahaja nampak hidung muka orang yang anda fotostat itu. Sekarang anda dapat melatih kecepatan tumbukan dan juga ‘timing’ anda. Awas! Latihan ini hanya untuk tumbukan sahaja dan bukan untuk tendangan. Kalau guna tendangan untuk latihan ini, lutut anda akan cedera dan anda akan bertongkat lebih awal dari rakan anda.Latihan kecepatan menggunakan sehelai kertas mungkin kedengaran terlalu mudah. Namun demikian, banyak perkara yang boleh jadi mudah tanpa bersusah payah. Selamat berjaya!
--------------------oOo--------------------


0 Comments:
Post a Comment
<< Home